SAYA ingin berkongsi pengalaman ketika berkunjung ke sebuah kawasan setinggan di Johannesburg kelmarin. Nama kawasan ini ialah Alexandra, berada di pinggir kota Johannesburg.
Kawasan ini dihuni oleh penduduk miskin. Rumah mereka jauh lebih teruk daripada setinggan di Kuala Lumpur. Anak-anak kecil mereka kelihatan kusut masai. Kasut mereka tidak banyak yang sempurna. Ada yang koyak di sana sini. Golongan miskin di Malaysia tidaklah seteruk dengan keadaan yang saya lihat di Afrika Selatan ini.
Tetapi kawasan ini telah dipilih oleh FIFA sebagai lokasi program `Football For Hope’. Ia dirasmikan oleh Presiden FIFA, Datuk Joseph Sepp Blatter bersama Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma pada 4 Julai lalu. (Lihat foto atas di kanan aksi remaja pada program Footbal For Hope di sebuah kawasan setinggan di Johannesburg.)
Melalui program ini, 32 pasukan dari seluruh dunia – yang diwakili oleh remaja miskin, tetapi mempunyai bakat untuk dipamerkan. Ramai anak-anak remaja yang terpaksa bermain di jalanan, tetapi mereka sebenarnya berbakat besar, hanya tidak mempunyai peluang dan kemudahan untuk `menjual’ bakat mereka.Pemain terbaik dunia, Lionel Messi dan Ronaldo adalah antara pemain yang dihidu bakat mereka melalui bola sepak jalanan.
Kerana itu, FIFA tampil dengan program yang dinamakan ‘Football For Hope’ – yang bermaksud memberikan pengharapan baru kepada golongan seperti ini untuk bersama menikmati keindahan bola sepak.
Program ini berlangsung enam hari, bermula Sabtu (3 Julai) lalu, dengan memberi peluang kepada remaja mempamerkan bakat mereka sambil kanak-kanak tempatan yang miskin berpeluang untuk bersama menikmati kemeriahan Piala Dunia.
Perlawanan 5 sebelah yang membenarkan pemain lelaki dan perempuan dalam satu pasukan, uniknya tanpa pengadil. Mereka bermain atas semangat toleransi dan penuh perpaduan. Kerana itu, Football For Hope menjadi lambang penyatuan pelbagai rumpun.
Sesungguhnya, `Football For Hope’ bersama Program `1Goal’ yang dilancarkan oleh FIFA, mempunyai impian tersembunyi, iaitu memberi pengharapan baru kepada remaja miskin seluruh dunia untuk bermain bola sepak dalam keadaan lebih selesa. Di Afrika Selatan sahaja, lebih 100,000 biji bolasepak disumbangkan melalui program ini.
`Football For Hope’ dan program `1Goal’ sudah berlangsung di seluruh dunia dan ini memberi sinar harapan untuk remaja yang tidak berkemampuan memburu cita-cita menjadi seperti Messi atau Ronaldo yang mula menyepak bola di lorong atau jalanan.
Saya meninggalkan kawasan Alexandra ketika remaja-remaja yang sedang bermain bola sepak di jalan melambai sambil mengejar kenderaan kami setelah melihat lensa kamera dihulur keluar dari kereta. Di wajah mereka tersembunyi cita-cita tersembunyi untuk menjadi pemain bola sepak terkemuka dunia.
Mereka sedar, seperti Messi, apabila berjaya, bukan sahaja dikenali seluruh dunia tetapi berjaya membawa dirinya dan keluarga keluar dari belenggu kemiskinan.
Anak-anak remaja ini berjiwa besar. Hanya yang mereka tiada ialah kemudahan dan peluang.
Jika mereka berada di Malaysia, alangkah bertuahnya mereka…. Jika ada komen, bolehlah emel kepada saya di alamat : jasnishafie@yahoo.com atau di facebook dengan kata kunci: jasni shafie.
1 comments:
Program yang bagus... semoga terus berkembang... Saya ingin berbagi article tentang Montmartre di Paris di https://stenote-berkata.blogspot.com/2018/06/paris-di-montmartre.htmll
Lihat juga video di youtube https://youtu.be/WT6s8eLEzs4
Post a Comment