MAKSUD HADIS RASULULLAH S.A.W. (2)


Hanya satu bahagian kasih sayang Allah turunkan ke dunia

DARI Abu Hurairah r.a. katanya : Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

“Tuhan menciptakan rasa kasih sayang itu 100 bahagian.

“(Sebanyak) 99 bahagian daripadanya disimpan-Nya di sisi-Nya.

“(Hanya) satu bahagian (kasih sayang) saja yang diturunkan-Nya ke atas dunia.

“Dengan kasih sayang satu bahagian (itulah) para makhluk saling berkasih sayang sehingga kuda pun mengangkat kakinya kerana takut anaknya terpijak.”

-(Hadis bilangan 1698 riwayat Bukhari)
__________________________________



Apabila Allah kasihi dan benci hamba-Nya

DARI Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila Allah Ta’ala mengasihi seseorang hamba, maka dipanggilnya Jibril dan berfirman: Hai Jibril! Sesungguhnya aku mengasihi si Fulan (orang itu), maka kasihi pulalah dia!

“Lalu Jibril mengasihi orang itu. Kemudian dia (Jibril) berseru kepada penduduk di langit, katanya: Sesungguhnya Allah Ta’ala mengasihi si Fulan (orang itu). Maka kasihi pulalah dia oleh kalian semuanya!

“Lalu penduduk di langit mengasihi orang itu. Kemudian cinta kasih itu sampai kepada penduduk di bumi.

“Dan apabila Allah Ta’ala membenci seseorang hamba-Nya itu , maka dipanggil-Nya Jibril dan berfirman: Hai Jibril! Aku benci kepada si Fulan (orang itu)! Maka benci pulalah kepadanya!

“Lalu Jibril membenci orang itu. Kemudian dia (Jibril) berseru kepada penduduk di langit, katanya: Sesungguhnya Allah Ta’ala membenci si Fulan. Maka benci pulalah kamu semua kepadanya.”

Sabda Nabi s.a.w. lagi: “Lalu penduduk langit membenci orang itu sehingga penduduk bumipun membencinya pula.”

– (Hadis bilangan 2265 riwayat Muslim)
_________________________________



Mencintai Allah dan Rasul-Nya
DARI Anas bin Malik r.a. katanya: “Ketika aku dan Rasulullah s.a.w pada suatu ketika keluar dari masjid, tiba-tiba kami ditemui oleh seorang lelaki di pintu masjid. Lalu dia (lelaki itu) bertanya : Ya Rasulullah! Bilakah terjadinya hari kiamat?”

Jawab Rasulullah s.a.w: “Apakah yang telah engkau persiapkan untuk itu (hari kiamat)?“

Lelaki itu kelihatan menunduk (kepalanya) dan kemudian dia menjawab: “Tidak banyak (persiapan) yang telah aku siapkan, baik yang berupa solat, puasa dan sedekah (zakat). Tetapi aku sungguh-sungguh mencintai Allah dan Rasul-Nya.”

Maka sabda Nabi s.a.w: “Engkau akan sentiasa bersama-sama (dengan) kecintaanmu (Allah dan Rasul-Nya) itu kelak.”

-(Hadis bilangan 2269 riwayat Muslim)

0 comments:

Post a Comment

 
Minima Ready Blogger Templates