Bilakah kita akan dapat melihat Allah?


MAKSUD HADIS RASULULLAH S.A.W. (1)

DARI ‘Atha’ bin Yazid Al-Laytsl r.a. katanya , Abu Hurairah memberitahu kepadanya bahawa orang ramai bertanya kepada Rasulullah s.a.w :
“Dapatkah kami melihat Tuhan kami nanti pada Hari Kiamat?”

Jawab Rasulullah s.a.w. : “Adakah kamu mengalami kesulitan (untuk) melihat bulan purnama pada malam (tarikh bulan Islam) keempat-belas (sewaktu bulan mengambang penuh)?”

Jawab mereka : “Tidak, ya Rasulullah!”

Tanya (Rasulullah s.a.w. lagi): “Adakah kamu merasa sulit (susah untuk) melihat matahari di langit yang tidak berawan?”

Jawab mereka: “Tidak, ya Rasulullah!”

Sabda Rasulullah s.a.w: “Sesungguhnya anda (kamu) semua akan (dapat) melihat-Nya (Allah) nanti seperti itu (melihat dengan jelas).

Pada hari Kiamat kelak, Allah akan mengumpulkan seluruh umat manusia, lalu Dia berfirman:
‘Siapa yang menyembah selain Aku (Allah), hendaklah dia mengikutinya!
‘Maka siapa yang menyembah matahari, (dia akan) mengikuti matahari, siapa yang menyembah bulan (dia) mengikuti bulan dan siapa yang meyembah pelbagai berhala, (dia) diikutinya pula berhala-berhala (yang disembahnya itu).’

“Maka tinggallah umat ini (orang-orang mukmin), yang di dalamnya termasuk pula orang-orang munafik. Allah Tabaraka wa Ta’ala mendatangi mereka dalam bentuk lain yang tidak mereka kenal.

Lalu Allah berfirman :

‘Akulah Tuhanmu! (ikutilah Aku!)’

“Jawab mereka : ‘Kami berlindung dengan Allah dari tipu dayamu. Kami tetap di tempat kami ini sampai Tuhan kami datang menjemput kami. Apabila Tuhan kami telah datang, kami akan mengenali-Nya.’

“Maka datanglah Allah Ta’ala dalam bentuk yang mereka kenal, sambil (Allah) berfirman:

‘Akulah Tuhanmu!’

“Jawab mereka : ‘Ya! Engkaulah Tuhan kami!”

MELINTASI TITIAN DI SISI NERAKA

Kata Nabi s.a.w. selanjutnya: “Lalu dibentangkan titian (jambatan) pada kedua-dua sisi neraka jahanam.

“Aku dan umatku-lah yang pertama-tama (mula-mula sekali) melewati (melintasi) titian itu.”

“Pada hari itu tidak ada (orang) yang diperkenankan (diizinkan) berbicara kecuali para Rasul. Doa mereka (para Rasul) itu: ‘Wahai Allah! Selamatkanlah! Selamatkanlah!.”

“Di dalam neraka jahanam ada semacam kaitan (pengait) seperti pancing, runcing bagaikan (seperti) duri sa’dan.
“Pernahkah anda (kamu) semua melihat duri sa’dan?”

Jawab mereka: “Pernah ya Rasulullah!”

Sabda Nabi s.a.w. : “Nah! Seperti duri sa’dan itu tetapi (ia) tidak terkira (ukuran) besarnya, selain hanya Allah yang dapat mengetahuinya.

“Kaitan (duri pengait) itu akan mengait setiap umat manusia yang melintasi di titian itu disebabkan amal perbuatan mereka.

“Orang-orang yang beriman akan terlepas dari bahaya itu sesuai dengan amal (perbuatan) mereka (semasa hidup di dunia). Dan ada pula yang dihukum beberapa lama, sampailah ia bebas dari hukuman itu.

TANDA BEKAS SUJUD DIDAHI TIDAK TERBAKAR
DALAM API NERAKA


“Setelah Allah selesai mengadili perkara (perbuatan) para hamba-Nya, Dia (Allah) ingin (pula) mengeluarkan (mereka) dengan rahmat-Nya penduduk (penghuni) neraka yang dikehendaki-Nya.

“Lalu Dia memerintahkan para malaikat supaya mengeluarkan orang-orang yang tidak mempersekutukan-Nya dengan yang lain-lain. Iaitu orang yang mengakui TIDAK ADA TUHAN SELAIN ALLAH.

“Para malaikat mengenali mereka yang (berada) di (dalam) neraka itu dengan TANDA-TANDA BEKAS SUJUD (di dahi).

“Sesungguhnya api (neraka) memakan tubuh anak Adam di (dalam) neraka selain (kecuali) bekas sujud (itu). Kerana Allah MENGHARAMKAN bagi api neraka memakan tanda bekas sujud itu.

“Lalu mereka dikeluarkan dari neraka dalam keadaan hangus. Kemudian mereka disirami dengan air kehidupan, dan mereka dapat hidup bagaikan bibit (benih) tanaman yang tumbuh di atas lumpur yang dibawa banjir.

ORANG TERAKHIR MASUK SYURGA

“Setelah semuanya selesai dikeluarkan (dari neraka) ternyata masih ada ketinggalan seorang lelaki yang menghadapkan mukanya ke (arah) neraka. (Orang) itulah penduduk syurga yang terakhir sekali masuk syurga.

“Orang itu berkata: ‘Wahai Tuhan! Palingkanlah mukaku dari neraka ini kerana anginnya terasa bagaikan RACUN dan nyala (api)nya serasa membakar diriku.”

“Dia (orang itu) sentiasa berdoa kepada Allah, kemudian Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman: ‘Jika Aku kabulkan permintaanmu itu, adakah kamu akan meminta pula yang lain-lainnya?’

‘Tidak! Aku tidak akan meminta lagi yang lain-lain,’ katanya berjanji.

“Lalu dengan kehendak Allah, mukanya terpaling dari neraka. Setelah dia menghadapkan (wajahnya) dan melihat ke syurga, dia terdiam beberapa lamanya, lalu (kemudiannya) dia berkata: ‘Wahai Tuhanku! Bawalah aku ke pintu syurga.’

“Maka Allah berfirman kepadanya: ‘Bukankah engkau telah berjanji tidak akan meminta (apa-apa) lagi pada-Ku selain apa yang telah Ku berikan? Celaka (malang) engkau, hai anak Adam! Engkau betul-betul PENIPU!’

“Tetapi orang itu terus berdoa dan berdoa sehingga akhirnya Allah berfirman kepadanya: ‘Berjanjilah! Jika (setelah) permintaan itu Aku kabulkan, kamu tidak akan meminta (apa-apa) lagi yang lain-lain.’

‘Tidak! Demi kebesaran-Mu,’ kata orang itu berjanji.

“Lalu dia dibawa ke pintu syurga. Setelah dia sampai di sana, pintu (syurga) itupun terbuka luas baginya (di hadapannya), sehinggalah dia dapat melihat dengan jelas segala isinya (di dalam syurga) berupa kenikmatan dan kebahagiaan.

“Oleh kerana itu dia terdiam pula seketika. Kemudian dia berdoa pula : ‘Wahai Tuhanku! Masukkanlah aku ke syurga!’

ALLAH TERTAWA KERANA GEMBIRA

“Firman Allah Tabaraka wa Ta’ala: ‘Bukankah engkau sudah berjanji tidak akan meminta lagi selain apa yang telah Ku berikan? Celaka (malang) engkau hai anak Adam! Alangkah penipunya kamu!’

“Jawab orang itu: ‘Wahai Tuhanku! Janganlah aku dijadikan makhluk-Mu yang celaka!’
“Dia (orang itu) sentiasa (terus) berdoa dan berdoa seperti itu, sehinggalah Allah TERTAWA kerana gembira-Nya.

“Maka Allah berfirman: ‘Masuklah kamu ke syurga!’

“Setelah dia berada di (dalam) syurga, Allah berfirman (lagi) pula kepadanya:

‘Mintalah apa (saja) yang engkau inginkan!’

“Lalu dia pun memohon segala yang diingininya, sehinggalah Allah mengingatkannya (supaya membatasi) ini dan itu.”

“Setelah permintaannya terkabul semuanya, Allah Ta’ala berfirman pula kepadanya: ‘Semua permintaanmu telah Aku kabulkan, bahkan akan Aku tambah sebanyak itu lagi.

(Hadis bilangan 149 riwayat Muslim).

0 comments:

Post a Comment

 
Minima Ready Blogger Templates