HAJI Kamal Md. Yusof (59 tahun) dari Setiawangsa, Kuala Lumpur adalah seorang pesara (dulu staf Universiti Kebangsaan Malaysia cawangan Kuala Lumpur)
Beliau sudah lima kali mengerjakan umrah sejak tahun 1986 dan terbaru pada April 2010 bersama pakej Andalusia Travel & Tours. Kamal mengerjakan haji pada tahun 1991.
Menurut Haji Kamal (lihat foto), dia kerap pergi ke Tanah Suci untuk beribadah kerana berasa seronok dapat mendekatkan diri dengan Allah. Beliau juga pernah menyaksikan jenazah dikebumikan di Mekah.
Kita ikuti pengalaman Haji Kamal bersama para jemaah sewaktu di Mekah untuk kita jadikan ikhtibar. Ada tiga peristiwa yang diceritakannya.
CERITA HAJI KAMAL :
1. PENGALAMAN pertama kali saya mengerjakan umrah di Mekah...saya melihat sendiri bagaimana seorang kawan lelaki telah kehilangan isterinya selepas kami bersolat berjemaah di dalam Masjidilharam. Saya tak ingat masa tu solat apa... tapi harinya siang. Sama ada solat fardu Zuhur atau Asar.
Lelaki itu bersolat dengan saya di saf lelaki dan isterinya di kawasan saf perempuan yang berdekatan.
Sebelum solat , mereka sudah berjanji untuk berjumpa di tempat biasa mereka menunggu iaitu di sebuah tiang dalam Masjidilharam.
Kemudian, selepas habis solat, suaminya bersama saya puas menunggu di tiang masjid itu tapi isterinya tak muncul-muncul. Lama juga kami menunggu.
(Foto kanan kelihatan Haji Kamal (kiri) di Dataran Kaabah bersama jemaah Umrah)
Selepas itu, saya dan suaminya pergi mencari isterinya. Kami berdoa kepada Allah agar dapat jumpa isterinya. Merata juga kami mencari... sampailah ke kawasan dataran Kaabah.
Akhirnya kami ternampak isterinya sedang berdoa minta ampun kepada Allah dan berharap agar dapat bertemu semula suaminya. Tempat dia berdoa, tidak jauh dari Hijir Ismail.
Bila sudah berjumpa dengan suaminya, dia bersyukur kepada Allah.
Dari cerita yang saya dengar... si isteri itu, selepas solat fardu dia pergi cari tiang di tempat yang dijanjikan untuk berjumpa suaminya...tapi tak jumpa tiang itu.
Rupa - rupanya... dia telah melakukan kesilapan. Sewaktu sebelum solat fardu, dia telah ternampak jemaah wanita berkulit hitam di dataran Kaabah. Kemudian hatinya berkata-kata yang tidak elok terhadap wanita itu.
JUWIE : Itulah sebabnya... kita tak boleh berprasangka buruk terhadap sesiapapun walaupun di dalam hati. Allah membalas segera di Tanah Suci.
____________________________________________________
Ramai wanita berkulit hitam mengelilinginya
2. PADA suatu musim haji, ada seorang jemaah haji wanita bercerita kepada saya.
Katanya, sewaktu dia nak solat sunat di dalam Masjidilharam... tiba-tiba semasa hendak mengangkat takbir...tiba – tiba datang dua orang Mak Itam (jemaah wanita berkulit hitam) duduk di kiri dan kanannya.
Dia rasa tak selesa melihat Mak Itam itu. Kemudian dengan segera dia pindah ke tempat saf lain.
Di tempat itu pula... sewaktu dia berdiri nak mulakan solat sunat... tiba-tiba datang lagi ramai Mak-Mak Itam di kelilingnya. Dia tidak dapat berbuat apa-apa lagi dan terus bersolat.
(Foto kanan Haji Kamal (dua dari kanan) di Gua Tsur, Mekah)
JUWIE : Itulah... kita tidak boleh memandang rendah, hina atau jijik kepada hamba Allah. Mungkin orang itu lebih mulia hatinya di sisi Allah daripada kita. Sikap manusia memandang rendah pada orang lain sesame saudara Islam kerap berlaku di mana-mana. Walaupun kulitnya hitam legam tapi mungkin hatinya putih bersih bercahaya.
Di Tanah Suci... siapa yang datang ke Rumah Allah (Baitullah)... semuanya adalah tetamu Allah. Sepatutnya kita menjalinkan silaturrahim yang ikhlas. Sesungguhnya umat Islam itu bersaudara dan tidak boleh dihinakan atau dianiaya.
Juwie sendiri pernah banyak kali orang mengata macam – macam sewaktu di Tanah Suci. Tapi akhirnya ada yang menangis minta maaf pada Juwie. Entah apalah agaknya yang telah menimpanya. Wallahualam.
Dari Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda : “Sesungguhnya Allah tidak memandang paras rupa dan hartamu tetapi Allah memandang kepada hati dan amalmu yang ikhlas.”
-(Hadis bilangan 2194 riwayat Muslim)
Satu lagi hadis Nabi s.a.w. yang sangat perlu kita renungkan dan ingat sampai bila-bila... agar sikap angkuh kita dapat berubah dan menjadi tawaduk :
Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Seseorang muslim adalah bersaudara kepada sesama muslim.
“Oleh kerana itu, janganlah menganiayanya, jangan membiarkannya teraniaya dan jangan menghinanya (saudara muslim kita)
“Takwa tempatnya di sini! (Sambil beliau menunjukkan jari ke dadanya sebanyak tiga kali).
“Alangkah besar dosanya menghina saudaranya sesama muslim. Setiap muslim haram menumpahkan darah saudaranya sesama muslim. Haram merampas hartanya dan haram mencemarkan kehormatan atau nama baiknya.”
- (Hadis bilangan 2193 riwayat Muslim)
_____________________________________________________
Suami bingung tak jumpa jalan balik ke hotel
3. SATU lagi peristiwa sewaktu saya mengerjakan umrah bersama isteri saya – Rohana Daud (51)
Cerita ini elok untuk dijadikan ikhtibar kepada pasangan suami isteri yang nak pergi ke Mekah. Sebab itu saya tak sebut nama mereka, tetapi sekadar ambil ceritanya untuk menjadi peringatan dan ikhtibar kepada kita semua.
Ada sepasang suami-isteri telah berselisih faham sewaktu di sebuah hotel penginapan mereka di Mekah.
Mereka pergi ke Masjidilharam bersama-sama untuk bersolat Zuhur tapi dalam keadaan mood yang tidak baik.
Mereka berjanji untuk berjumpa di tempat biasa di Masjidilharam apabila telah selesai bersolat nanti kerana nak pulang ke hotel bersama-sama macam biasa.
Selepas habis solat, isterinya pulang ke hotel seorang diri. Semasa di dewan makan...pada waktu tengah hari (selepas Zuhur), isterinya bercerita... dia tak jumpa suaminya di tempat yang telah dijanjikan.
Selepas mendengar cerita itu, saya pergi ke Masjidilharam untuk tolong carikan suaminya.
Puas saya cari suaminya di dalam masjid tapi tak jumpa.
Dah lebih dua jam kemudian bila saya keluar dari masjid... saya pergi ke suatu tempat... barulah ternampak si suami sedang duduk dekat batu.
Saya tanya dia... dia kata... dia tengah bingung... sebab dia tak jumpa jalan untuk balik ke hotel.
Lepas tu saya bawa dia balik ke hotel bertemu semula dengan isterinya yang sedang risau.
Rasulullah s.a.w. bersabda : ‘‘Jangan marah!”
JUWIE : Gelagat orang marah-marah atau berselisih faham banyak kali Juwie tengok di Mekah. Di Tanah Suci dan di mana jua seeloknya kita sentiasa berbaik-baik dan tidak marah-marah atau bergaduh. Kita perlu ada kekuatan iman yang tinggi untuk kawal perasaan marah yang dihasut oleh syaitan.
Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang yang kuat bukanlah orang yang menang berkelahi (bergaduh) tetapi orang yang kuat ialah (orang) yang dapat menguasai (mengawal) dirinya ketika sedang marah.”
-(Hadis bilangan 1715 riwayat Bukhari)
Dari Abu Hurairah r.a. (katanya), ada seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w. : “Berilah saya wasiat (petunjuk dan ajaran)!”
Beliau (Nabi s.a.w.) bersabda: “Jangan MARAH!!” Ucapan itu beliau ulang berkali-kali.
-(Hadis bilangan 1716 riwayat Bukhari)
Bila dalam keadaan marah dan gaduh-gaduh, Rasulullah s.a.w. anjurkan baca: “A’udzubillahi minasy syaithonirrajim (Aku berlindung dengan Allah dari kejahatan syaitan yang terkutuk)
Allah tambahkan kemuliaan kepada orang yang pemaaf
SEELOKNYA cepat-cepatlah kita saling bermaafan dan lupakan perselisihan. Jadilah hamba Allah yang tawaduk.
Orang yang pemaaf, Allah tambahkan kemuliaan dan orang tawaduk Allah tingkatkan darjatnya seperti disebut dalam hadis berikut:
Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah s.a.w. sabdanya: “Sedekah itu tidak akan mengurangi harta seseorang. Seorang pemaaf, Allah tambahkan kemuliaan baginya.
“Dan seorang yang tawaduk (merendah diri) kepada Allah, maka Allah menaikkan darjatnya.”
-(Hadis bilangan 2218 riwayat Muslim).
(Foto kanan ialah Hotel Zam-Zam Towers, bangunan hotel tertinggi di Mekah).
0 comments:
Post a Comment