Betapa indah dan nikmatnya musim haji tahun lalu (1430 H)

Bismillahir Rahmanir Rahim...


Betapa indah dan nikmatnya musim haji tahun lalu (1430 H)
SEGALA puji bagi Allah. Selawat dan salam kepada Rasullullah S.A.W. Assalamualaikum kepada seluruh umat Islam yang dirahmati Allah. Betapa indahnya musim haji. Nikmatnya beribadah pada musim haji di Tanah Suci tidak terkata. Alhamdulillah!

Pada musim haji tahun 1430 Hijrah yang lalu (bersamaan November 2009) pihak Lembaga Tabung Haji (TH) telah menguruskan (dengan cemerlang) lebih 26,000 jemaah dari Malaysia untuk mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci. Air mata banyak berlinang dalam menghayati dan mengecapi rahmat kebesaran Allah ketika mengabdikan diri kepada-Nya.


Lebih empat juta jemaah haji dari seluruh dunia turut berada di - Mekah, Arafah, Muzdalifah, Mina dan ziarah ke Madina. Apa yang ditulis di ruangan ini hanyalah secara ringkas saja dan tidak menyeluruh.
Tahniah dan terima kasih tidak terhingga kepada petugas-petugas dari Malaysia termasuk syarikat swasta dan juga teraju utama Kerajaan Arab Saudi yang telah mengendalikan urusan haji dengan cemerlang. Alhamdulillah.


Semoga Allah membalas kebaikan mereka dengan anugerah istana di syurga, insya-Allah. Amin.
Pengerusi Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. – Ustaz Haji Datuk Md. Daud Che Ngah (64 tahun) telah turut serta bersama 850 jemaah haji yang mendaftar dengan syarikatnya pada tahun lalu.


Hujan lebat di Mekah & Arafah


SEHARI sebelum Hari Wukuf iaitu pada 8 Zulhijjah bersamaan 25 November , sewaktu para jemaah sibuk berhimpun di hotel penginapan di kota Mekah sejak pagi (selepas sarapan) kerana menunggu giliran menaiki bas untuk ke Arafah...tiba-tiba menjelang tengah hari hujan telah turun dengan selebat-lebatnya (beberapa jam) hinggalah ke petang.Indah dan nikmatnya hujan rahmat itu. Alhamdulillah.


Bukan senang nak rasa hujan di Mekah... jadi bila dapat rasa hujan...terasa syukur sangat-sangat kepada Allah. Itulah hujan rahmat.



Ada sebahagian jemaah yang bertolak ke Arafah selepas zuhur...bila sampai saja di khemah Arafah, hujan masih renyai-renyai. Habis tilam, bantal dan karpet basah sebab atas kehendak Allah air hujan boleh tembus dari atas khemah. Tiada siapa boleh menghalang ujian Allah ini. Karpet yang menutupi lantai tanah pun basah. Terpaksalah jemaah membentang tikar yang dibawa untuk duduk, bersolat dan berbaring.


Ustaz Daud menangis ketika berdoa

PADA Hari Wukuf di Arafah (9 Zulhijah bersamaan 26 November 2009), ada imam solat Zuhur membacakan kutbah. Ustaz Daud pula telah membimbing para jemaahnya dan juga jemaah Zahafiz Travel yang tinggal berjiran di dalam khemah untuk bacaan berzikir dan berdoa dari selepas solat Zuhur sehinggalah menjelang Asar. Cuaca amat elok panas pada tengah hari dan redup pada sebelah petang. Para jemaah haji berpakaian ihram.
Terdengar suara Ustaz Daud tersedu-sedan menangis ketika berdoa menerusi coron
g mikrofon di dalam khemah pada Hari Wukuf yang sangat mulia itu.
Selepas bermalam di Arafah dan pada esoknya selepas selesai wukuf... jemaah pergi bermalam pula di Muzdalifah dengan menaiki bas. Suasana di jalan raya penuh sesak dengan beribu-ribu bas yang membawa berjuta jemaah haji dari seluruh dunia.
Selepas bermalam di Muzdalifah (kawasan lapang yang terbuka tanpa khemah), mereka bertolak pula menaiki bas ke khemah di Mina pada awal pagi 10 Zulhijah untuk melakukan ibadah melontar batu di Jamrah.
Forum perdana mengenai haji di Mina
Di Mina pula pihak Andalusia Travel dan Zahafiz Travel tinggal bersebelahan khemah. Mereka menganjurkan forum perdana mengenai haji yang ahli panelnya – Ustaz Haji Datuk Daud Che Ngah dan Ustaz Haji Datuk Abdul Ghani (dari Batuta Travel). Selepas forum, para jemaah bertanya pelbagai soalan dengan ahli panel.
Elok juga ada aktiviti forum selain kita berzikir, berdoa, membaca Al-Quran dan bersolat. Dapatlah mengisi masa terluang dengan aktiviti bermanfaat daripada berbual kosong. Sebab ramai yang berada di Mina dari 10 Zulhijah
hingga 13 Zulhijah.
Para jemaah haji mendapat bimbingan yang baik termasuklah sewaktu berbaris (berpasukan) pergi melontar batu di Jamrah di Mina (lihat foto kiri) selama empat hari dengan penuh disiplin. Mereka diiringi oleh petugas-petugas khas keselamatan supaya para jemaah tidak dirempuh atau hilang.
Selesai melontar Jamrah di Mina, para jemaah balik ke Mekah untuk menyempurnakan tawaf haji di Kaabah dan sa’ie haji di dalam Masjidilharam. Suasana penuh sesak dengan para jemaah haji yang beriktikaf dan beribadah di dalam Masjidilharam pada siang dan malam terutama di kawasan Kaabah dan tempat sa’ie. Sudut hajarulaswad di Kaabah sentiasa penuh sesak kerana jemaah berebut-rebut untuk menciumnya. Indah dan nikmatnya kelazatan ibadah haji...rasa nak pergi setiap tahun.


Layanan istimewa untuk tetamu Allah

PIHAK Tabung Haji memainkan peranan utama mengendalikan seluruh jemaah haji Malaysia dengan amat baik. Petugas-petugas perubatan, kebajikan, pentadbiran, kewangan dan lain-lainnya sentiasa bersedia melayani para jemaah haji yang memerlukan bantuan dengan penuh mesra walaupun mereka penat dan kurang tidur. Mereka sentiasa murah dengan senyuman bila disapa jemaah. Terima kasih. Alhamdulillah.
Pihak Kerajaan Arab Saudi serta petugas-petugasnya pula sentiasa prihatin kepada seluruh jemaah haji dari seluruh dunia dan memberikan layanan istimewa kepada tetamu Allah.
Sehinggalah saat waktu hendak berlepas pulang di pintu balai berlepas lapangan terbang di Jeddah atau Madina, setiap jemaah haji dihadiahkan senaskah Al-Quran atau tafsir Al-Quran dalam bahasa Melayu, Inggeris atau bahasa negara asal jemaah itu. Petugas-petugas kerajaan Arab Saudi menyampaikan hadiah itu dengan mesra.


Apa pandangan Ustaz Daud mengenai musim haji tahun lalu?



USTAZ Haji Daud Che Ngah (lihat foto kiri) ada pandangan tersendiri mengenai para jemaah haji bimbingannya yang pergi dengan Andalusia Travel & Tours pada tahun lalu. Beliau adalah pengerusi syarikat itu.
Apakah pandangan peribadinya?
Cerita Ustaz Haji Daud:
Bagi saya, (musim haji) tahun lalu ada dua pandangan (khusus terhadap jemaah Andalusia Travel).



PERTAMA: Ada sedikit kekecohan apabila hujan lebat turun di Arafah sehari sebelum hari Wukuf. Akibatnya di dalam khemah habis tilam, bantal dan karpet semua basah. Sepatutnya untuk pakej kami, tiada dibekalkan tilam dan bantal. Tapi sebagai syarikat yang ingin buat kebajikan, kami usahakan menyediakan tilam dan bantal sebagai ehsan.
Khemah itu adalah untuk teduhan dari panas. Bagi seseorang yang mengerti agama (Islam), dia akan sanggup tempuh dugaan itu (bantal, tilam dan karpet basah) sebagai rezeki dari Allah kepadanya.
Pada yang kurang ilmu pengetahuan dan yang tak terfikir mengenai suasana ibadah haji, bila dah terjadi hal macam itu, dia salahkan pihak yang menyediakan khemah dan dia salahkan pihak-pihak yang terlibat menguruskan haji.


Ibadah ikhlas sanggup tempuh dugaan Allah


Dia tidak terfikir bahawa ada orang lain sanggup tak berkhemah. Mereka beribadah ikhlas kepada Allah dan sanggup menempuh dugaan hujan dan panas.
Iman mereka begitu tinggi menghadapi dugaan Allah. Mereka sanggup berjihad. Mereka sanggup ‘struggle’ (berjuang) lebih. Mereka sanggup hadapi ujian Allah.
Mereka tak salahkan sesiapa bila sesuatu ujian berlaku. Mereka menangis sewaktu berzikir dan beribadah dengan kusyuk. Mereka adalah jemaah yang bertaqwa, zuhud dan tawaduk. Kerana kedatangan mereka (mengerjakan haji) adalah sebagai tetamu Allah. Sebarang kejadian yang terjadi pada mereka dianggap ujian untuk memantapkan diri sebagai tetamu-Nya.



Giliran naik bas ke Muzdalifah


KEDUA: Pandangan saya yang kedua pula tentang giliran jemaah haji menaiki bas dari Arafah untuk perjalanan ke Mudzalifah (untuk bermalam di sana di padang terbuka tanpa khemah).
Ada bas yang bertolak awal, ada bas yang bertolak (waktu) pertengahan dan ada bas yang bertolak (waktu) akhir (secara berperingkat-peringkat selepas Maghrib atau Isyak)
(Urusan bas dikendalikan oleh pihak Muasasah kerajaan Arab Saudi. Beribu bas bersesak di jalan raya ulang-alik Arafah – Muzdalifah untuk membawa berjuta jemaah haji dari seluruh dunia).
Jemaah haji yang dapat pergi naik bas awal rasa seronok sebab dia boleh bermalam di Muzdalifah dan selepas itu boleh naik bas semula (giliran awal) untuk pergi ke Mina dan sampai awal di khemah.
Jemaah yang naik bas giliran pertengahan pun okey sebab waktu tengah malam mereka sudah berada di Muzdalifah.
Mereka seronok sebab setelah bermalam sebentar di Muzdalifah, mereka dah boleh bertolak dengan bas ke Mina pula. Dan bila mereka sampai di Mina dah masuk waktu Subuh. Selepas solat Subuh mereka dah boleh terus pergi melontar di Jamrah. Kemudian mereka nak balik ke Mekah untuk buat tawaf dan sa’ie haji (di dalam Masjidilharam) pun dah boleh. (Tapi ramai yang pergi melontar berbaris ikut giliran untuk negara Malaysia selepas solat Isyak).




Jemaah tak puas hati kerana tak faham sistem giliran naik bas
(Bagi jemaah) yang gilirannya naik bas peringkat akhir ni teruk sikit. Ada yang masih berada di Arafah bila dah masuk waktu Subuh (kerana bas terlewat sampai sebab jalan sesak). Jadi, dia tak sempat bermalam di Muzdalifah. Lalu dia anggap dirinya sudah langgar ‘wajib haji’.
Sebenarnya dia berasa tak senang hati sebab dia tak dapat bermalam di Muzdalifah (kerana kelewatan bas akhir). Ini bukan kerana kehendak jemaaah dan bukan juga kehendak pihak pengurusan tapi sistem giliran basnya begitu.


Muzakarah Haji kita dah buat keputusan bahawa hajinya tetap sah (walaupun tak sempat bermalam di Muzdalifah) dan dia tidak perlu membayar dam sebab dia berada dalam keadaan darurat atau musyaqah (kesusahan).
Walaupun dia dikecualikan dari masalah itu tetapi dia tetap merungut dan mengungkit-ungkit bayaran belanja haji yang telah dia keluarkan adalah sama dengan jemaah haji yang pergi naik bas giliran awal dan pertengahan.


Kenderaan rosak ujian Allah
Paling kritikal sekali bila waktu nak balik ke Mekah dari Mina...ada di antara jemaah haji sampai lewat ke Mekah sebab mereka naik kenderaan yang ditakdirkan rosak di tengah jalan. Dia marahkan semua pihak pengurusan.
Dia kata, kenapa bas yang dia naik tu buruk? Padahal ini semua bukan dirancang dan bukan syarikat yang tentukan, tapi ia lebih kepada ujian Allah. Kita tak boleh salahkan orang lain kerana... adakah sesuatu pihak itu ingin mencipta kesukaran untuk tetamu Allah? Demikian bicara Ustaz Haji Daud.


Semoga cerita Ustaz Daud ini akan menjadi pengajaran atau iktibar kepada bakal-bakal jemaah haji akan datang supaya sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu dan iman yang tinggi bagi menghadapi pelbagai dugaan Allah semasa mengerjakan ibadah haji bersama berjuta umat islam dari seluruh dunia.
Pastikan kita ikuti kursus haji dengan tekun supaya kita faham ilmu ibadah haji, falsafah haji, dugaan dan kesibukan pada musim haji. Janganlah kita bersungut, mengeluh atau marah-marah yang boleh mengurangkan pahala kita. Jemaah haji memerlukan kesabaran yang amat tinggi.
Mudah-mudahan dengan iman dan ilmu yang tinggi, serta sifat yang tawaduk atas dasar takwa dan redha, kita akan mendapat haji yang mabrur (yang diredhai) dengan rahmat Allah. Amin.
Kepada jemaah yang tidak redha dan tidak tahan dengan ujian Allah hingga banyak sangat cerewet, berasa besar diri, takbur, sombong, bongkak, belagak, tunjuk muka masam mencuka, mengeluh, terjerit-jerit marah-marah, bengis, banyak mulut celupar dan komplen macam-macam kerana tak puas hati...Cuba fikirkan kembali...’’ Adakah mabrur hajiku dengan bersikap begitu?’’ Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui. Subhanallah.

0 comments:

Post a Comment

 
Minima Ready Blogger Templates