Apa kisah ajaib Mak Pah di Mekah?



















NAMA ‘Mak Pah’ atau Hajah Sharifah Haji Adlan (55 tahun) semakin dikenali ramai sebagai pengasas Rumah Titian Kasih (RTK) di Persisaran Titiwangsa, Taman Tasik titiwangsa, Kuala Lumpur. RTK ditubuhkan 12 tahun lalu.

Beliau membela nasib 125 orang anak yatim, fakir miskin, ibu tunggal, warga emas dan orang kurang upaya. Kini penghuni RTK telah dipindahkan ke rumah kebajikan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Mak Pah berasal dari Sungai Tua, Pulau Pinang pernah bekerja sebagai bidan di klinik dan hospital swasta selama 13 tahun.

Pada tahun 2008 Mak Pah dua kali ke Tanah Suci Mekah dan Madina. Yang pertama pada bulan Ramadan (2008) itu Mak Pah mengerjakan umrah atas tajaan Sapura Holding. Kali kedua Mak Pah mengerjakan haji pula (pada tahun yang sama) atas tajaan seorang hamba Allah.

Jom kita ikuti empat pengalaman menarik Mak Pak ketika di Tanah Suci Mekah.(Foto di atas kelihatan jemaah haji sedang bertawaf di Kaabah).

Ada orang kepung Mak Pah
di hajarulaswad

Cerita Mak Pah:

(1). SEMASA mengerjakan umrah Ramadan dan selepas itu pergi haji pula, Mak Pah (foto kanan) dapat peluang dua kali mencium hajarulaswad di Kaabah walaupun orang penuh sesak pada masa itu.
Mak Pah berdoa di depan Multazam (di antara sudut hajarulaswad dan pintu Kaabah): ‘’ Ya Allah ya Tuhanku... biarpun musim haji susah nak cium hajarulaswad...tapi bagilah aku peluang menciumnya sekejap pun jadilah.’’
Habis aje berdoa, Mak Pah rasa ada orang tolak Mak Pah dari belakang. Tiba-tiba Mak Pah dah sampai dekat kawasan sudut hajarulaswad. Mak Pah tengok, ada beberapa orang lelaki mengepung Mak Pah supaya orang lain tak ganggu Mak Pak nak cium hajarulaswad.
Kemudian Mak Pah ucapkan takbir ‘Allahu Akbar’ dan terus cium hajarulaswad dengan selesa. Semuanya dengan izin Allah. Alhamdulillah.
Peristiwa itu berlaku pada hari selepas Mak Pah balik dari Mina. Masa itu, selepas solat Subuh, Mak Pah pergi bermiqat di Tana’im untuk mengerjakan umrah sunat. Selesai umrah barulah dapat cium hajarulaswad.


Tiga hari berturut-turut hilang kasut

(2).
SEBELUM pergi ke Arafah untuk mengerjakan haji, pagi itu Mak Pah pergi solat Subuh di Masjidilharam.
Di pintu masjid itu, Mak Pah terdengar ada jemaah haji dari Malaysia bersungut: ‘’Kat sini bawak kasut asyik hilang aje.’’

Kemudian dalam hati Mak Pah berkata-kata: ‘’Masa aku pergi umrah Ramadan pakai kasut dan simpan di rak kasut masjid tak pernah hilang’’.
‘’Ni aku datang lagi buat haji pun kasut aku masih tak hilang simpan di rak kasut dalam Masjidilharam.’’

Kemudian selepas solat Subuh, bila Mak Pah nak keluar dari Masjidilharam di pintu nombor 64, Mak Pah tengok kasut Mak Pah (sandal putih berharga 20 rial) dah hilang. Puas Mak Pah cari di tempat rak kasut tapi tak jumpa.

Terpaksalah Mak Pah keluar masjid berjalan kaki pergi ke kedai beli sandal baru dan terus balik ke hotel penginapan.
Yang lucunya, sampai tiga hari berturut-turut Mak Pah kehilangan kasut di masjid. Beli yang baru kemudian hilang lagi. Beli lagi...hilang lagi...sampai tiga kali hilang!
Kemudian Mak Pah beli lagi sandal kali keempat dan dalam hati Mak Pah terasa ada sesuatu tak kena. Rupa-rupanya... kata-kata yang terlintas di hati Mak Pah hari tu... akhirnya berbalik kepada diri sendiri. Di Mekah Allah balas segera.

Kemudian semasa berada di dalam Masjidilharam, Mak Pah buat solat sunat taubat dan minta ampun pada Allah atas kesilapan Mak Pah. Selepas itu, barulah kasut Mak Pah tak hilang lagi, sampailah balik ke Malaysia.

Niat nak makan nasi dan ayam goreng...tiba-tiba ada orang bagi


(3). PADA masa umrah Ramadan, Mak Pah tinggal di Hotel Abeer Garden ikut pakej Andalusia Travel.
Selepas berbuka puasa di Masjidilharam dan selesai solat Maghrib, Mak Pah bantu tolak kerusi roda seorang nenek keluar masjid. Mak Pah lalu di sebuah restoran ada gambar nasi putih dan ayam goreng macam di KFC.
Nenek tu beritahu Mak Pah...dia berhajat sangat nak makan nasi putih dengan ayam goreng.

Dalam perjalanan nak balik ke hotel, tiba-tiba ada lelaki berjubah dan berserban bersama seorang wanita memberi kami dua kotak nasi dan ayam goreng sama seperti dalam gambar yang Mak Pah tengok kat restoran tadi.

Ada orang tarik tangan Mak Pah ke hajarulaswad


(4). PADA masa umrah Ramadan ada kawan bernama Rozie yang sudah biasa datang ke Mekah mengerjakan umrah...dia ajak Mak Pah cium hajarulaswad.
Tapi bila Mak Pah tengok ramai orang berasak-asak, Mak Pah tak nak pergi ke situ dan minta dia lepaskan tangan Mak Pah.
Kemudian tiba-tiba ada seorang hamba Allah tarik tangan Mak Pah dan dengan mudahnya terus sampai di depan hajarulaswad dan dapatlah Mak Pah cium hajarulaswad. Lepas tu, Mak Pah cari orang tu tak jumpa. Dia dah hilang.
Begitulah di antara cerita pengalaman Mak Pah di Mekah.
(Lihat gambar di kiri...itulah hajarulaswad di sudut sebelah pintu Kaabah).



















0 comments:

Post a Comment

 
Minima Ready Blogger Templates